Boeing 787 Dreamliner tiba di Singapura
$entry.content.caption.value
MELBOURNE - Pengerusi Qantas, Alan Joyce, menyokong Boeing dan pesawat 787 Dreamliner yang bermasalah, dalam memperkukuh komitmen beliau terhadap keputusan memperkenalkan kapal terbang itu kepada syarikat penerbangan utama Australia itu.

Kapal terbang generasi baharu itu mengalami beberapa masalah bulan lepas, dan ini mencetuskan langkah berjaga-jaga daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS yang mengakibatkan kesemua 50 pesawat 787 yang beroperasi dihentikan perkhidmatannya.

Qantas telah menempah 14 buah pesawat itu, yang penyerahannya dijadualkan tahun ini, serta mengekalkan pilihan dan hak membeli bagi 50 pesawat B787 sama ada varian -8 atau -9 bagi penyerahan mulai 2016, demikian menurut laporan Australian Associated Press (AAP).

"Kami percaya Boeing adalah sebuah syarikat pengeluar kapal terbang yang hebat, sebuah syarikat kejuruteraan yang hebat, dan ia akan menyelesaikan masalah ini," kata beliau seperti yang dilaporkan dalam laman sesawang penyiar ABC hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara AS (NTSB), Deborah Hersman, berkata penyiasat sedang menjalankan penyiasatan dengan amat teliti untuk mencari sebab berlakunya kebakaran bateri lithium-ion dalam pesawat 787 Japan Airlines (JAL) tanpa penumpang ketika kapal terbang itu berada di landasan di Lapangan Terbang Logan, Boston pada 7 Januari.

Isu paling membimbangkan yang ditemui setakat ini ialah litar pintas dan larian haba, iaitu satu tindak balas kimia yang mengakibatkan kenaikan suhu di luar kawalan, katanya.

Masalah bateri, dan satu lagi kejadian masalah bateri dalam pesawat 787 All Nippon Airways pada 16 Jan, menyebabkan semua operasi Dreamliner dihentikan hingga masalah ini diatasi. - Bernama