R. Gopal
R. Gopal
INDUSTRI logistik Malaysia dianggar akan berkembang sebanyak 9.5 peratus kepada RM139.74 bilion tahun ini berbanding RM129.93 bilion tahun lalu, dengan disokong pertumbuhan ekonomi yang stabil serta dagangan luar negara yang tinggi.

Naib Presiden Amalan Pengangkutan dan Logistik Global Frost & Sullivan, R. Gopal berkata, dagangan luar Malaysia dijangka meningkat 6.5 peratus kepada RM1.42 trilion tahun ini berbanding RM1.34 trilion tahun lalu.

“Unjuran positif ke atas pelaburan langsung asing dijangka memacu pasaran pengangkutan dan logistik. Dagangan luar negara juga meningkatkan pertumbuhan penghantaran hadapan import-eksport, kargo udara dan perniagaan perkapalan yang berkaitan kargo laut.

“Rakan dagang utama Malaysia dan negara Asia yang juga dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil,”katanya.

Jumlah isi padu kargo negara pula dijangka merekodkan 530.67 juta tan pada 2013, berbanding 505.26 juta tan pada 2012. Jumlah kargo laut dijangka berkembang lima peratus kepada  523.3 juta tan tahun ini.

Industri logistik Malaysia disasarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 10.2 peratus kepada RM207.4 bilion pada 2017.