Pages

Monday 17 December 2012

Kes Kemalangan Di Tempat Kerja


AKHBAR: SINAR HARIAN: NASIONAL
TARIKH: 29 APRIL 2011

Lebih 21, 000 kes kemalangan pergi, balik tempat kerja
NUSAJAYA – Jumlah kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja mencatatkan angka yang serius walaupun jumlah kemalangan di tempat kerja di negara ini berjaya dikurangkan sejak 10 tahun yang lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, pada tahun 2010, kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja direkodkan sebanyak 21,909 kes atau 30 peratus daripada 57,656 kes kemalangan industri yang dilaporkan.
Ini menunjukkan peningkatan berbanding 20,810 kes kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja yang dilaporkan pada 2009.
”Ini adalah di luar kawalan pihak majikan, pekerja itu sendiri kena mengambil langkah keselamatan sendiri, khususnya mereka ketika pergi dan balik ke tempat kerja dan kemalangan membabitkan penunggang motosikal,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2011 di tapak pembinaan Kolej Marlborough di sini, semalam.
Subramaniam berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Institut Keselamatan dan Pekerjaan Negara (NIOSH), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain agensi telah merancang banyak program kesedaran program ‘Safe Riding’ untuk pekerja yang menunggang motosikal.
Kemalangan tersebut yang selalunya melibatkan kehilangan nyawa atau hilang keupayaan kekal menyebabkan kerugian modal insan, kerugian ekonomi kepada negara dan juga keluarga.
Menurut statistik yang dikeluarkan Perkeso, 81,810 kes kemalangan industri dilaporkan pada 2002 di mana 63,423 kes melibatkan kemalangan di tempat kerja manakala 18,387 kes melibatkan kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja.
Ia menunjukkan penurunan jumlah kemalangan di tempat kerja tetapi kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja menunjukkan trend yang meningkat.
Perkeso telah membayar RM1.549 bilion pampasan mangsa kemalangan industri pada 2010 berbanding RM1.354 bilion yang dibayar pada tahun sebelum itu.
Peningkatan jumlah pampasan itu menurut beliau adalah disebabkan faktor kenaikan gaji para pekerja di mana semakin tinggi gaji pekerja semakin besar pampasan yang akan dibayar Perkeso.


0 comments:

Post a Comment