Pages

Saturday 27 October 2012

PUNB sasar lahirkan usahawan 'Juara Global'







 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) berhasrat melahirkan usahawan-usahawan 'Juara Global' pada masa hadapan bagi memastikan mereka tidak hanya tertumpu di pasaran tempatan sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah berkata, pihaknya memulakan usaha itu apabila berhubung dengan usahawan berjaya bagi berkongsi idea bagi membantu usahawan PUNB.
''Sesi perbincangan dengan usahawan berjaya itu telah membuka mata PUNB dan kami bakal merangka cara baru dalam melahirkan usahawan bertaraf global.
''Usahawan PUNB pada masa hadapan bukan sahaja hanya memikirkan pasaran tempatan tetapi perlu berfikir luar kotak dan menembusi pasaran antarabangsa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Tambah Dzulkifli, setakat ini, tidak banyak usahawan PUNB yang betul-betul berani mencuba menembusi pasaran global dan membawa masuk jenama-jenama antarabangsa sebagai pengedar utama.
''Kita perlukan lebih banyak Mohamed Mustakim Manaf yang merupakan pemegang hak runcit tunggal bagi jenama pakaian kanak-kanak Adams Kids dan pakaian Peacocks di Malaysia, Mohd. Taib Ali pengendali medan selera Wesria Food Sdn. Bhd. (Wesria) yang berani memasuki pusat beli belah terkenal dan sebagainya.
''PUNB berharap usahawan-usahawan kami pada masa hadapan mempunyai visi untuk menjadi seperti mereka berdua ini,'' jelasnya.
Sementara itu, PUNB tidak akan hanya memberi fokus bagi mendapatkan peruntukkan kerajaan dan hanya mengagihkan pembiayaan.
Dzulkifli berkata, pihaknya telah menerima mandat dari Pengerusi baharu, Khairy Jamaluddin untuk melahirkan usahawan yang bersedia dan berkualiti tinggi.
PUNB tidak hanya melihat pengagihan pembiayaan sebagai indeks petunjuk prestasi (KPI) tetapi fokus untuk mewujudkan perniagaan mapan daripada agihan tersebut.
''Oleh itu, PUNB akan sentiasa memantau prestasi usahawan kami untuk memastikan mereka boleh berdiri sendiri dan mempunyai dana mencukupi serta terus mendapatkan keuntungan.
''Ia selari dengan mandat yang diberikan Yayasan Pelaburan Bumiputera kepada PUNB untuk membangunkan usahawan bumiputera berkualiti dalam sektor perniagaan,'' tambah beliau.
Dzulkifli berkata, setakat ini, PUNB sedang menyiapkan perancangan untuk hala tuju baharu tersebut dan akan mengumumkannya apabila tiba masa sesuai.

0 comments:

Post a Comment